BTS Media

Pembantu nafi dakwaan Hamzah tawar rasuah RM1 bilion kepada Istana

KUALA LUMPUR: Setiausaha sulit Hamzah Zainudin menafikan dakwaan bahawa ketua pembangkang itu menawarkan RM1 bilion kepada Istana Negara untuk membantu menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Ikhwan Fadhli berkata, dakwaan yang dibuat di sebuah blog itu adalah suatu fitnah dan bertujuan mencemarkan nama setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana menurutnya, kerajaan “tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyekat penyebaran fitnah membabitkan nama baik Yang di-Pertuan Agong”.

“Artikel ni dimuat naik pada 8 Jan, sehingga hari ini, di Twitter masih ada, di blog masih ada,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi.

“Sekarang, apa respons kerajaan atau penyokong kerajaan? Adakah satu laporan polis dibuat untuk siasat orang yang terbitkan artikel itu. Tiada apa-apa (tindakan diambil).”

Catatan blog itu mendakwa Hamzah telah memperuntukkan kira-kira RM1 bilion dana bagi tujuan menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Menurutnya, dana turut diketepikan untuk merasuah Ahli Parlimen kerajaan supaya menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada hari Isnin, setiausaha politik Anwar, Azman Abidin menggesa dakwaan itu disiasat. Jika dakwaan itu benar, katanya, ia bukan petanda baik untuk pemulihan ekonomi negara.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai wujudnya “Langkah Dubai”, perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Mesyuarat yang didakwa berlangsung itu, yang tidak dipandang serius oleh Anwar dan pemimpin kerajaan lain, kononnya bertujuan membahagikan tugas dalam kalangan “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang sanggup berpaling tadah.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Faiz Rahmad berkata, ahli sayap itu akan membuat laporan polis di seluruh negara berhubung dakwaan terhadap Hamzah.

Langkah ini akan diambil untuk mempertahankan integriti Istana dan Ahli Parlimen PN.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/10/pembantu-nafi-dakwaan-hamzah-tawar-rasuah-rm1-bilion-kepada-istana/

Leave a Comment