Oleh Zainal AS Rashid
SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin menepis dakwaan rumahnya di Damansara ‘diserbu’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) awal minggu ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata dakwaan sedemikian dilakukan untuk memfitnahnya menjelang pilihan raya negeri akan datang, lapor Utusan Malaysia.
Beliau yang bertanya apa dimaksudkan dengan ‘serbu’ itu, seterusnya menyatakan bahawa terdapat banyak fitnah yang dibuat terhadap dirinya, dan beliau tidak mahu menjawab tuduhan yang berleluasa.
Hamzah berkata demikian kepada media malam tadi selepas pelancaran jentera pilihan raya PN Marang.
Beliau juga berkata akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk memfailkan laporan polis dan membawa mereka ke mahkamah.
Pada Khamis, portal berita FMT memetik sumber PN berkata bahawa rumah Hamzah di Damansara telah diserbu oleh LHDN pada hari Rabu dan kononnya sejumlah dokumen telah ‘dirampas.’
Bagaimanapun, menurut sumber BERSATU, ‘serbuan’ itu gagal memperoleh apa-apa yang negatif terhadap Hamzah.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi BERSATU Saifuddin Abdullah membayangkan seolah-olah ‘serbuan’ seperti itu benar berlaku, dan menyifatkannya “aksi politik murahan” yang bertujuan untuk memburukkan imej PN.
Bekas menteri luar negeri itu berkata beliau telah menghubungi Hamzah dan diberitahu serbuan itu didakwa ada kaitan dengan kes sebelum ini.
Saifuddin dipercayai merujuk kepada kes rasuah RM15 juta terhadap ahli perniagaan Sim Choo Thiam, yang didakwa pada bulan Mei kerana menuntut RM15 juta daripada ahli perniagaan Hep Kim Hong pada bulan Jun 2021.
-BTS Media