BTS Media

BERSATU dakwa serbuan LHDN ke rumah Hamzah politik terdesak

BERSATU mendakwa serbuan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) ke atas rumah Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah usaha kerajaan merosakkan imej Perikatan Nasionl (PN).

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata kerajaan mahu membunuh karakter ketua pembangkang yang dipimpin oleh Hamzah dengan hanya menggunakan cara yang tidak pasti atau samar-samar.

“Mereka (kerajaan) cuba melarikan fokus rakyat daripada apa yang berlaku dalam negara ketika ini seperti isu ekonomi merudum, kejatuhan nilai mata wang, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.

“Kali ini pihak kerajaan cuba untuk fokus kepada kepimpinan BERSATU dan oleh sebab itu mereka sedaya upaya menggunakan pihak yang berkaitan untuk menjatuhkan ketua pembangkang,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, apabila LHDN membuat serbuan sebegitu, LHDN sudah tentu melakukan serbuan berkenaan untuk menyiasat cukai pendapatan dan cukai-cukai yang lain.

“Walaupun perkara itu masih lagi samar-samar kesalahannya, dilihat pada laporan media seolah-olah menuduh Ahli Parlimen Larut berkenaan sudah melakukan kesalahan lari daripada membayar cukai pendapatan.

“Jadi itu yang dia (kerajaan) hari ini mahu menularkan bahawasanya ketua pembangkang tidak membayar cukai dan isu berkenaan mungkin akan menjadi modal dalam ceramah pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata, serbuan berkenaan adalah tindakan terdesak oleh kerajaan.

Beliau berkata, ia hanyalah strategi politik murahan bagi memburukkan pimpinan kanan dalam BERSATU.

“Ketika dia (pemimpin kerajaan) tak berkesan sebagai kerajaan, dia harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam BERSATU dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.

“Saya menganggap ia helah politik murahan ketika PH-BN terdesak untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Larut itu difahamkan berada di rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur, ketika serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai LHDN kira-kira pukul 11 pagi.

Sumber berkata, serbuan berkenaan dilakukan susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.

Sebuah portal melaporkan, penguat kuasa LHDN turut merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1115212/bersatu-dakwa-serbuan-lhdn-ke-rumah-hamzah-politik-terdesak

Leave a Comment