BTS Media

Hamzah bidas pengkritik, Bersatu sokong penuh RUU anti lompat parti

GAMBAR: Facebook Bersatu.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

TINDAKAN BERSATU memberi sokongan penuh kepada Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan hari ini (Khamis 28 Julai) membuktikan pendirian parti itu.

Setiausaha agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata selama ini beliau meminta kalangan ahli parlimen parti itu supaya bersabar walaupun dilabel sebagai ‘katak’.

Beliau berkata ada yang menggunakan pelbagai analogi terhadap ahli parlimen BERSATU di parlimen, namun hari ini semua yang hadir, termasuk dari Bersatu telah mengundi menyokong RUU tersebut.

Menurut beliau ini kerana ahli parlimen BERSATU tahu betapa pentingnya undang-undang berkenaan kepada rakyat.

Beliau yang berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini selepas pengundian RUU tersebut, turut mengkritik pihak lawan, termasuk Pakatan harapan (PH) dan Warisan yang sentiasa mendabik dada mengutuk BERSATU, walaupun mereka juga merupakan punca politik negara tidak stabil.

Beliau mengambil contoh muslihat Warisan untuk menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan UMNO pada 2018 dan kesilapan PH menangani isu ICERD yang telah mencetuskan protes besar-besaran.

Hamzah berkata mereka yang meninggalkan PH berbuat begitu demi menstabilkan negara daripada pergolakan kaum lebih teruk.

Beliau berkata tiada seorang pun daripada mereka di Dewan rakyat hari ini bertindak atas agenda peribadi, tetapi demi kepentingan rakyat. Mereka mahu memastikan tiada lagi isu perkauman.

“Mereka sanggup melakarkan haluan yang lebih baik untuk masa depan. Itulah sebabnya hari ini saya mahu orang ramai memahami bahawa mereka adalah orang yang bertanggungjawab,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment