BTS Media

Bersatu nafi dakwaan akhbar kononnya bantah syarat kerusi dikosongkan dalam syarat RUU Anti Lompat Parti

GAMBAR ATAS: FMT

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan parti itu membantah syarat kerusi dikosongkan sebagai antara kriteria dalam Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu sentiasa komited dalam memperjuangkan reformasi institusi.

Beliau berkata Bersatu menghantar wakil ke pelbagai rundingan mengenai RUU Anti Lompat Parti dan Akta Mengehadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.

Wan Saiful merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang menurut beliau langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 5 April lalu.

“Tidak pernah ada penolakan kolektif seperti yang didakwa. Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik dan apa niat di sebalik ulasan tersebut. Pandangan rasmi parti akan dinyatakan apabila kita mendapat salinan draf yang sebenar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata Timbalan Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut berperanan dalam usaha menyediakan draf akta berkenaan, dan tidak pernah ada penolakan kolektif seperti yang didakwa.

-BTS Media

Leave a Comment