PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya menahan reman Bendahari Agungnya, Datuk Salleh Bajuri, selepas beliau memberi kerjasama penuh sejak Januari lalu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyifatkan SPRM tiada sebab munasabah untuk memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.
“Ini kerana beliau (Salleh) sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan kepada siasatan SPRM sejak Januari lagi.
“Setiap kali dipanggil, beliau hadir. Setiap kali ada permintaan dokumen, beliau serahkan. Tidak pernah beliau menolak permintaan SPRM, walaupun diminta pada saat akhir.
“Namun, pada 1 Mac lalu beliau sekali lagi dipanggil secara tergesa-gesa. Apabila hadir untuk memberi keterangan, beliau ditahan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, katanya, BERSATU berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Salleh adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin parti itu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
“Begitu juga tindakan menjalankan siasatan ke atas vendor-vendor BERSATU adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang masih berterusan,” katanya.
Hamzah berkata, penyata kewangan parti itu juga diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan.
“Tiada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan itu, yang telah disahkan juruaudit bertauliah.
“Salleh sebagai seorang Bendahari Agung yang beramanah dan berintegriti telah memastikan semua perolehan yang dibuat oleh BERSATU sudah melalui proses dan tatacara kewangan parti,” katanya.
Justeru, katanya BERSATU menuntut supaya kerajaan PH-BN berhenti melakukan pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas BERSATU.
“Terimalah hakikat bahawa pucuk pimpinan BERSATU tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.
Salleh ditahan reman selama dua hari oleh SPRM bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh BERSATU kepada pembekal dan vendor parti.
Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif itu, manakala Adam Radlan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama.
Terdahulu, SPRM pada Januari dilapor membekukan beberapa akaun milik BERSATU susulan siasatan kes itu.