Gamuda Berhad menghentikan sementara semua kerja di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau susulan tebing sungai runtuh menyebabkan limpahan air kolam memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek itu di Taman Mas, Puchong, Selangor petang semalam.
Gamuda berkata, tindakan itu diambil bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.
“Semua pihak di tapak pembinaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan tindakan yang sesuai.
Keutamaan kami ialah keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar, menurut Gamuda dalam kenyataan yang dilapor Bernama.
Gamuda memaklumkan, tiada kecederaan dialami oleh pekerja pembinaan mahupun orang awam dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 2 petang itu.
Media semalam melaporkan, runtuhan tebing sungai itu menyebabkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air (LRA) itu tenggelam sedalam 19m.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Beliau berkata, pasukan bomba meneruskan pemantauan di lokasi dan mengarahkan pihak pengurusan pembinaan menghentikan kerja pembinaan sementara.
Katanya, pihak pengurusan turut diminta memaklumkan kejadian itu kepada Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Kerja Raya untuk memastikan kawasan runtuhan selamat bagi kerja pembinaan diteruskan.
Projek loji rawatan air bernilai RM4 bilion oleh Air Selangor itu dijangka bakal menghasilkan tambahan bekalan air bersih 700 juta liter sehari menjelang akhir tahun depan.