TAN Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan dokumen kepada polis berhubung siasatan kes isu 3R (kaum, agama, royalti).
Dalam satu kenyataan pada hari Rabu (21 Ogos), bekas perdana menteri itu mengulangi bahawa beliau tidak berniat menghina institusi diraja, dan ucapannya semasa berkempen di pilihan raya kecil DUN Nenggiri adalah semata-mata berdasarkan fakta.
Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutarbelitkan ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja.
Dalam kenyataan saya kepada pihak polis hari ini saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya.
Beliau menambah sejak pilihan raya beliau tidak pernah menggesa rakyat membenci atau menghina institusi diraja.
“Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini,” katanya.
“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10.
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah.”
Mengenai dokumen yang diserahkan kepada polis, beliau berkata ia termasuk dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum pukul 2.00 petang.
“Sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.”
“Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Kolonel (B) Dato Nazim Bin Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut.
Muhyiddin dilihat meninggalkan bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada pukul 1 tengah hari. Dia tidak bercakap kepada media.
-BTS Media