TINDAKAN tatatertib terhadap anggota polis disyaki menyerang pemandu e-hailing OKU adalah berhubung aset yang tidak diisytiharkan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata tindakan tatatertib yang diambil bukan atas dakwaan serangan itu.
“Ia (kegagalan mengisytiharkan harta) adalah melanggar arahan tetap Ketua Polis Negara,” katanya, lapor The Star.
Razarudin juga mendakwa akan berlaku “double jeopardy” jika siasatan dalaman bagi serangan itu dijalankan di atas siasatan jenayah (bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan).
Double jeopardy ialah peraturan undang-undang bahawa seseorang individu tidak boleh didakwa di mahkamah dua kali untuk jenayah yang sama.
KPN berkata kertas siasatan berhubung serangan itu telah disiapkan pada bulan Jun dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, ia dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Julai lalu selepas polis menerima arahan untuk menyiasat kes itu dengan lebih lanjut,” katanya.
Menurut Razarudin, tindakan lanjut akan diambil terhadap anggota polis itu jika dia didakwa dan disabitkan atas kesalahan tersebut.
The Star juga melaporkan bahawa KPN sebelum ini berkata tindakan tatatertib telah diambil terhadap anggota polis yang disyaki menyerang pemandu e-hailing orang kurang upaya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada bulan Mei berikutan siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Peguam N. Surendran yang mewakili pemandu e-hailing OKU Ong Ing Keong, 48, mendakwa tiada tindakan diambil terhadap suspek selepas dua bulan.
Ong telah membuat laporan polis bahawa dia telah diserang oleh anggota keselamatan yang mengiringi seorang VIP di hotel berhampiran KL Sentral.
-BTS Media