TUN Dr Mahathir Mohammad menafikan dakwaan Ahmad Zahid Hamidi kononnya “menyelamatkan Umno”, yang menjadi punca beliau berundur sebagai perdana menteri pada tahun 2020.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau berundur kerana parti BERSATU ketika itu, telah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya apabila mereka menolak nasihat beliau.
“Biasanya, apabila pengikut sudah tidak percaya kepada pemimpin, perkara terhormat yang perlu dilakukan ialah berundur. Itu yang saya lakukan.
“Ahmad Zahid tidak perlu mendakwa bahawa dia wira yang menjatuhkan saya dan menyelamatkan Umno,” tulis Dr Mahathir dalam Facebook pada hari Isnin (12 Ogos).
Pada hari Sabtu, Ahmad Zahid mendakwa kononnya dia adalah dalang di sebalik usaha memecat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana Menteri.
Dia juga mendakwa bahawa dia terpaksa mengambil langkah “luar biasa” untuk menghalang Dr Mahathir daripada mengharamkan Umno.
Dr Mahathir berkata selepas Umno tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Ahmad Zahid, yang merupakan presiden parti ketika itu, datang menemuinya.
“Beliau ingin tahu apa yang akan berlaku kepada Umno selepas kekalahan itu. Bagi saya, Umno tidak lagi memegang kepada dasar pebubuhan di sebalik pembentukannya, iaitu memperjuangkan bangsa, negara dan agama.
“Parti yang menggunakan nama Umno itu berjuang untuk wang (cash is king). Oleh kerana perjuangannya tidak lagi sama, mereka hilang hak untuk dikenali sebagai Umno,” katanya.
Dr Mahathir berkata Ahmad Zahid tidak bersetuju dengannya dan tidak membubarkan parti.
Beliau berkata dalam pertemuan lain, Ahmad Zahid memberitahunya bahawa dia tidak bersalah terhadap dakwaan rasuah terhadapnya.
“Saya memberitahunya bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk membebaskannya dan ‘bukti’ yang ditunjukkannya harus dikemukakan kepada hakim di mahkamah,” katanya.
-BTS Media