BTS Media

Zahid guna UMNO sebagai alat tawar menawar supaya kes rasuah digugurkan – Dr Mahathir

GAMBAR: Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad

 

Oleh Yusoff A. Shariff

BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sangkaan beliau bahawa Ahmad Zahid Hamidi menggunakan UMNO sebagai alat ‘penawar tawar’ bagi tujuan menggugurkan kes rasuahnya ternyata benar.

Dr Mahathir mendedahkan bahawa ini adalah sebab beliau menasihatkan presiden UMNO itu supaya membubarkan parti tersebut apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018.

Beliau juga percaya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau perdana menteri supaya menggugurkan kesnya, tetapi Muhyiddin enggan berbuat demikian, Zahid menarik balik sokongan terhadap beliau.

Dr Mahathir berkata, Zahid turut mencuba perkara yang sama semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perdana menteri,  tetapi itu juga gagal kerana bantahan orang ramai.

Justeru, parlimen dibubarkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secepat mungkin, katanya.

Beliau berkata, sangkaannya nyata benar kerana zahid menggunakan UMNO bagi memastikan Anwar (Ibrahim) menjadi Perdana Menteri, walaupun dia (Zahid) menolak Anwar dan DAP semasa kempen PRU15.

“Jelas kes Zahid telah digugurkan di bawah PM sekarang,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Awal bulan ini, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah kerana menyeleweng dana milik Yayasan Akal Budi (YAB).

Mahkamah Tinggi membenarkan beliau dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) atas 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit milik YAB.

Pendakwa raya memberi 11 alasan bagi mahkamah memberikan DNAA kepada Zahid.

-BTS Media

Leave a Comment