BTS Media

Lebih 8.5 juta peranti terjejas gangguan IT global CrowdStrike

GANGGUAN teknologi global angkara kemas kini perisian oleh firma keselamatan siber CrowdStrike dilapor menjejaskan hampir 8.5 juta peranti Microsoft, kata Microsoft pada hari Sabtu.

Buat masa ini, syarikat IT gergasi itu menganggarkan bahawa kemas kini CrowdStrike telah menjejaskan sekurang-kurangnya 8.5 juta peranti Windows, atau kira-kira 1% daripada jumlah keseluruhan komputer menggunakan Windows.

Kemas kini perisian oleh CrowdStrike, yang merupakan salah satu pengendali terbesar dalam industri IT, mencetuskan masalah sistem hingga menghentikan penerbangan, memaksa stesen TV terputus siaran dan menyebabkan jutaan pelanggan kehilangan akses kepada perkhidmatan, seperti penjagaan kesihatan atau perbankan.

Walaupun peratusannya kecil, impak ekonomi dan terhadap masyarakat mencerminkan bahayanya penggunaan CrowdStrike oleh perusahaan yang menjalankan banyak perkhidmatan kritikal, kata Microsoft lagi.

CrowdStrike sedang membantu membangunkan penyelesaian berskala yang menyokong infrastruktur Azure Microsoft bagi mempercepatkan pembetulan, kata Microsoft, sambil menambah bahawa syarikat juga kini bekerjasama dengan Amazon Web Services dan Google Cloud Platform bagi mencari pendekatan paling berkesan.

Industri pengangkutan udara dilaporkan semakin pulih pada hari Sabtu daripada gangguan yang menyebabkan beribu-ribu penerbangan dibatalkan, penumpang terkandas atau mengalami kelewatan berjam-jam kerana lapangan terbang dan syarikat penerbangan terperangkap dalam gangguan IT.

Menurut Reuters, syarikat penerbangan Amerika Syarikat Delta Air Lines, salah satu syarikat penerbangan paling teruk terjejas. Setakat pukul 10 pagi hari Sabtu, lebih 600 penerbangan dibatalkan, sambil menambah bahawa ia akan membawa kepada lebih banyak pembatalan.

-BTS Media

Leave a Comment