GAMBAR: CodeBlue.
SEBUAH mesin layan diri vape yang disediakan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur telah mencetuskan kecaman dalam media sosial kerana mempromosikan tabiat berpotensi berbahaya.
Mereka menyuarakan kebimbangan dan kemarahan selepas seorang pengguna media sosial berkongsi gambar mesin tersebut.
Bagi pengguna vape pula, mereka berkata tidak ada keperluan untuk disyaratkan supaya mengimbas MyKad untuk pengesahan umur.
Mereka berkata pembelian sepatutnya hanya memerlukan pembayaran menggunakan kad atau e-dompet.
Akhbar dalam talian, FMT memetik seorang pengguna berkata, daripada hampir mendapat larangan sepenuhnya melalui kempen Generasi Penamat (GEG), ini pula terus bertukar menjadi penjualan vape secara terbuka.
@Memsaab88 berkata: “Jumlah kanak-kanak menggunakan vape semakin meningkat kerana ia boleh didapati di mana-mana, apa yang kerajaan Madani lakukan?”
Tinjauan Pengguna Tembakau Dewasa Global 2023 mendapati bahawa penggunaan e-rokok atau vape dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 24 tahun telah meningkat daripada 1.1% pada 2011 kepada 8.6% tahun lepas.
Mesin ‘vending’ vape di pusat membeli-belah hanya memerlukan pembeli memilih produk yang diingini, sentuh skrin dan bayar menggunakan e-dompet, seperti Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go e-Wallet.
FMT memetik Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kesihatan dan Sosial Galen Azrul Khalib berkata ia “keadaan ini membimbangkan dan mengecewakan” kerana penyedia mesin layan diri membenarkan produk mereka digunakan untuk penjualan produk vape.
“Ini membolehkan akses tanpa had kepada produk vape dan e-rokok bagi sesiapa sahaja yang menggunakannya, termasuk kanak-kanak dan remaja.
Beliau berkata keadaan ini akan menambahkan bilangan kanak-kanak menjadi penagih nikotin, dan pihak berkuasa sepatutnya mengharamkan kaedah tersebut.
-BTS Media