GAMBAR: NSTP
NIBONG TEBAL: Dakwaan yang menyatakan dua Unit Daerah Mengundi (UDM) Perikatan Nasional (PN) bagi menggerakkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ditutup adalah satu pembohongan.
Timbalan Ketua Pemuda PN negeri, Muhamad Hafis Alias, berkata kedua-dua UDM iaitu di Sungai Duri dan Sungai Bakap sehingga hari ini masih beroperasi seperti biasa.
“Semalam, kami telah pergi ke UDM berkenaan (Sungai Duri dan Sungai Bakap seperti apa yang didakwa) yang sambutan gerak kerja di sana berjalan lancar.
“Kecuali pada waktu solat , memang la sebab kami semua diajar untuk tinggalkan sebentar UDM bagi menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam (menunaikan solat).
“Jadi, kita gesa Rafizi (Ramli) untuk hentikan pembohongan sebegini dan mengamalkan konsep politik matang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Halaman Indah, di sini, hari ini.
Sebelum itu, tular rakaman video kenyataan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR dalam satu ceramah Perpaduan di Sungai Bakap mendakwa dua UDM milik PN ditutup berikutan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap PN telah menurun.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN.
Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN dipilih sebagai wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.