JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dilaporkan telah menandatangani perjanjian sulit dengan orang yang dikehendaki Low Taek Jho (JHO Low) untuk mencapai penyelesaian global mengenai pelucutan aset 1MDB.
Menurut Channel News Asia (CNA), ia akan menyelesaikan buat selama-lamanya tindakan pelucuthakan aset sivil, jenayah dan pentadbiran Washington.
Perjanjian untuk cuba mencapai penyelesaian global itu ditandatangani oleh Margaret A. Moeser, Pemangku Ketua Seksyen Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Aset di Bahagian Jenayah DOJ, Peguam Pemegang Amanah Kewangan Low, dan peguam keluarga Low, Robin Rathmell dari Firma Undang-Undang Kasowitz Benson Torres.
Menurut dokumen yang dilihat oleh CNA, rancangan penyelesaian dikemas kini itu akan menyaksikan penyerahan aset yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
Aset yang sebelum ini tidak dituntut atau didapatkan semula oleh agensi pendakwa di seluruh dunia juga akan diserahkan.
Perjanjian itu dikaitkan dengan pengumuman DoJ pada 26 Jun bahawa jabatan tersebut akan mendapatkan tambahan sebanyak AS$100 juta dalam menyelesaikan dua kes rampasan sivil, termasuk karya seni oleh pelukis Claude Monet dan Andy Warhol.
DoJ sebelum ini mengambil tindakan terhadap aset diperoleh Low dan keluarganya dengan menggunakan dana yang didakwa digelapkan daripada 1MDB.
Awal bulan Jun, Washington berkata sehingga kini mereka telah berjaya mendapatkan semula dan membantu dalam usaha mendapatkan semula kira-kira AS$1.4bil (RM6.6bil) dana berkaitan 1MDB yang diselewengkan dari Malaysia.
-BTS Media