RANCANGAN kerajaan supaya platform media sosial Malaysia dilesenkan dilihat sebagai tindakan kawalan bersifat kuku besi, kata badan hak asasi manusia dan inisiatif reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty(LFL).
Pengarahnya Zaid Malek membandingkan tindakan tersebut dengan Korea Utara, China dan PAP.
“Ini mengejutkan dan mengganggu semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.
“Ia adalah satu lagi petunjuk jelas usaha kerajaan Anwar (Ibrahim) untuk menyekat dan mengawal kebebasan bersuara, serta meneruskan trend semasa mengekang wacana awam dengan berselindung di sebalik usaha menyekat kandungan yang dikononkannya berbahaya dan menyalahi undang-undang,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjawab memberi respons kepada rancangan kerajaan untuk memerlukan platform media sosial dilesenkan di Malaysia, yang kini dalam peringkat akhir proses selepas menerima kelulusan daripada kabinet.
Tindakan itu termasuk mengenakan kod kandungan pada platform sedemikian yang juga akan mengenakan peraturan bagi kandungan politik.
Zaid berkata tindakan kerajaan itu demi kepentingan diri dengan cuba menyekat suara pengkritik.
Beliau juga menuduh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan melanggar Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara.
“Ia mengingkari janji untuk memansuhkan undang-undang zalim yang mengehadkan kebebasan bersuara dengan teruk dan secara berterusan menggunakan undang-undang tersebut terhadap orang ramai.
“Diketahui umum bahawa kerajaan secara sistematik menyekat video oleh pengkritik kerajaan di platform media sosial, termasuk beberapa portal berita dalam talian. Kami memiliki bukti bahawa sekatan terhadap pengkritik kerajaan dilakukan secara sistematik,” kata Zaid.
Zaid seterusnya mendakwa Putrajaya sengaja mewujudkansuasana ketakutan untuk menghalang orang ramai dan media mengkritik kerajaan atau dasar-dasarnya.
“Hanya beberapa bulan lalu kerajaan mengancam orang ramai supaya tidak membincangkan isu kasino Forest City yang dilaporkan secara meluas, dan kemudian mendakwa pengkritik terkenal seperti Chegubard di bawah Akta Hasutan kerana membuat catatan Facebook berdasarkan berita yang dilaporkan oleh Bloomberg,” katanya.
Beliau turut menyelar kerajaan kerana cubaan sekatan media sosial sedangkan gabungan itu sendiri menurutnya dapat bertahan kerana berita dalam talian dan platform media sosial.
“Kami menggesa kerajaan supaya menarik balik rancangan baharu yang zalim bagi menyekat kritikan dalam talian, khususnya mana-mana bahagian peraturan yang dirancang bertujuan untuk menapis atau mengehadkan wacana mengenai perkara kepentingan awam, khususnya peraturan berkaitan kandungan politik.
Beliau berkata rancangan sebegitu mempermainkan Perlembagaan dan menjadikan negara ini sebuah pemerintahan diktator.
-BTS Media