Oleh Khadijah Ibrahim
Selain kes kematian Tangmo Nida yang menjadi perhatian warga maya tempatan, nama Wan Noor Baizura dari Dungun, Terengganu turut mendapat perhatian baru-baru.
Wanita yang membahasakan dirinya sebagai Kak Long itu mula dikenali ramai tanpa perlu menyertai mana-mana program realiti TV sejak dia merakam perbuatannya mengamuk dengan kakitangan kedai serbaneka 7 Eleven pada 2 Mac lalu.
Nawaitunya mungkin ingin menagih simpati orang ramai kerana sebagai ibu hatinya terguris apabila anak kesayangan dituduh mencuri oleh seorang pekerja 7 Eleven.
Biasalah, sudah menjadi lumrah manusia, apabila kemarahan menguasai diri, segala bahasa mak nenek akan dikeluarkan. Sebab itulah ketika marah menguasai diri cubalah untuk bersabar.
Selepas kembali normal dan melihat balik perbuatan sendiri, pasti ada perasaan malu dan automatik mahu mohon maaf. Itulah sikap semula jadi manusia, bila buat salah mohon maaf.
Ramai yang puji dengan Kak Long kerana sanggup memohon maaf apabila menyedari kekhilafannya yang hilang sabar itu. Namun selagi nama manusia, sampai kiamat pun akan melakukan perkara yang sama kerana manusia mudah lupa.
Melihat kepada senario masa kini, perkataan maaf itu seolah-olah tiada harga. Selepas reda babak dengan staf 7 Eleven, rupa-rupanya drama Kak Long bersambung pula dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Katanya, dia tiada niat untuk mengajuk atau menghina golongan OKU, sebaliknya video live baru-baru ini hanya gurauan. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang dianggapnya bayangan gurauan itu sebenarnya telah mengguris hati ramai pihak.
Lantaran itu berduyun-duyun orang tampil mengecamnya yang dilihat tidak sensitif dengan orang sekeliling. Bukan setakat kecam, ada juga yang telah membuat laporan polis atas perbuatannya yang didakwa menghina golongan OKU.
Kak Long baru nak popular agar mudah baginya mempromosi jualan kosmetik, akhirnya ‘jatuh terduduk’ kerana yang mengecamnya lebih ramai daripada menyanjungnya.
Seperti biasalah bila rasa diri tak mampu untuk menanggung semua kecaman itu, cara mudah adalah mohon maaf.
“Kak Long tak ada ejek OKU. Kak Long tahu satu Malaysia benci Kak Long. Jadi setiap apa yang Kak Long buat, semuanya nampak salah.
“Kak Long faham, setiap apa yang Kak Long tulis akan menjadi perhatian orang.
“Live Kak Long orang masuk, orang kecam, orang tunggu kita silap kat mana, orang akan kecam. Orang akan manipulasi supaya Kak Long nampak salah selamanya,” tulisnya dalam Facebook.
Disebabkan kecaman seperti peluru tak bermata terhadapnya sejak beberapa minggu lalu, Kak Long nekad untuk mengurangkan aktiviti di media sosial selepas ini.
“Kak Long plan akan kurangkan aktiviti di media sosial ni. Terlalu ramai orang negatif. Terlalu ramai tunggu masa nak hentam Kak Long.
“Kak Long nak berehat seketika. Korang, Kak Long doakan semoga sihat-sihat selalu. Lupakanlah Kak Long, kita bukan siapa-siapa,” luahnya.
Kita tengoklah berapa lama Kak Long nak berehat daripada ‘bermain’ media sosial, adakah seketika atau untuk selamanya.
Sebenarnya, media sosial ini kalau kita salah guna buruk padahnya. Janganlah menjadi insan yang hilang ‘harga diri’ hanya semata-mata untuk mengisi content.
Adalah lebih baik kalau kita membuat content yang dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang menonton. Apa pun semua itu terpulang pada yang empunya diri.
Kita orang luar, diharap dapat menjadikan kisah Kak Long ini sebagai teladan supaya jangan sesuka hati nak tular jika ‘permasalahan’ dapat diselesaikan dengan cara baik.
Selain itu, janganlah suka menangguk di air keruh hanya kerana mahu mencari rating. Ramai lagi yang lebih layak boleh ditonjolkan untuk dikongsi pengalaman mereka dengan penonton.
– BTS Media