Oleh Fetty Rara
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berikutan komen keterlaluan berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut baginda, lebih mengecewakan apabila cercaan dan penghinaan disokong oleh pengguna lain tanpa usul periksa, dan jika tidak dibendung ia boleh merosakkan pemikiran masyarakat, khususnya golongan muda.
“Sejak kebelakangan ini, kemunculan gejala fitnah dan berita palsu semakin berleluasa telah menyebabkan ketegangan antara kumpulan tertentu dalam masyarakat.
“Beta tidak mahu gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan pada masa jangka masa panjang,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Raja Lumu Kuala Selangor semalam (Khamis 6 Okt).
Baginda bertitah, perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka dan tabiat ‘baling batu sembunyi tangan’ sesama Melayu hanya melemahkan dan membawa kepada perpecahan yang merugikan bangsa dan agama.
“Perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara dan umat yang berpecah akan membawa kehancuran,” titah Sultan Sharafuddin.
Tegas baginda, orang Melayu beragama Islam perlu sentiasa merujuk kepada ajaran agama dalam setiap tindak-tanduk dan kehidupan harian.
Baginda berkata, nilai murni perlu diterapkan seperti bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa memaafkan antara satu sama lain.
“Beta mahu rakyat di negeri Selangor hidup dalam keadaan selesa, harmoni dan menikmati kekayaan negeri secara adil dan saksama,” titah baginda.
“Beta yakin jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan erat, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula dan menjadi satu bangsa kuat dan bermaruah.”
-BTS Media