BTS Media

Wan Saiful dedah bukti berkait dakwaan kes mahkamah ‘boleh selesai’

KUALA LUMPUR: Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mendedahkan bukti menyokong dakwaan yang kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan, di luar prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Wan Saiful pada sidang media di Parlimen menunjukkan gambar pertemuannya dengan beberapa individu tertentu selain tangkap layar perbualannya di whatsApp didakwa dengan seorang ‘ejen’ atau orang tengah untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa mahu mendedahkan bukti itu kepada jawatankuasa khas namun tidak berkesempatan kerana Dewan Rakyat telah meluluskan usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya buat aduan dalam Dewan Rakyat dan apa dikesali digunakan bahan bukti untuk siasat saya.

“Ada cadangkan kepada saya kalau betul ada tawaran buat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)…tapi kalau ke sana agak-agak siapa kena tahan?,” katanya yang mendakwa tidak lagi percaya dengan SPRM.

“Saya harapkan Dewan Rakyat ada integriti itu, rupanya begini yang jadi.”

Usul membawa Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said susulan ucapannya di Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu.

Pada 22 Mac lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi memfailkan usul merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, selepas pemimpin Bersatu itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen PN untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa keputusan Dewan Rakyat sepatutnya ditangguhkan terlebih dahulu bukannya membuat keputusan segera kerana tahu mempunyai majoriti.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan pula berkata pembangkang akan mampertimbangkan untuk merujuk Johari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan keputusannya itu.

“Dari segi peraturannya speaker adalah ahli dewan dan boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Tetapi kena ingat jawatankuasa ini pengerusinya speaker sendiri, itu keadaannya,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/06/24/wan-saiful-dedah-bukti-berkait-dakwaan-kes-mahkamah-boleh-selesai/

Leave a Comment