SEJUMLAH rekod kes sindrom kejutan toksik streptokokus (STSS) di Jepun tahun ini membimbangkan kerana ia yang jarang berlaku dan boleh membawa maut.
Terdapat 1,019 kes STSS dalam tempoh enam bulan pertama 2024, mengatasi jumlah yang dicatatkan tahun lepas di negara itu.
Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun memberi amaran tentang peningkatan kes pada bulan Mac, selepas 77 kematian akibat penyakit itu direkodkan, lapor The Washington Post.
Sebahagian besar kes pada masa itu membabitkan individu yang berumur 50 tahun ke atas.
Menurut data terkini dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), sebanyak 145 kes STSS dicatatkan pada 2021.
Sindrom kejutan toksik Streptococcal ialah penyakit serius apabila bakteria Streptococcus Kumpulan A merebak ke darah dan tisu dalam, menurut CDC.
Strep Kumpulan A (GAS) ialah bakteria biasa yang terdapat pada tekak dan kulit.
Menurut CDC, kebanyakan jangkitan GAS menyebabkan sakit ringan dan biasa, seperti sakit tekak.
Penyakit berbahaya seperti STSS mungkin berlaku apabila bakteria menular ke bahagian yang biasanya tidak ditemui bakteria, seperti darah atau otot.
GAS secara amnya sering menyebabkan sakit tekak dan jangkitan kulit, kata Céline Gounder, editor kesihatan awam di KFF Health News, yang juga pakar penyakit berjangkit dan ahli epidemiologi di NYU dan Hospital Bellevue New York.
Beliau berkata, jangkitan darah, paru-paru dan “pemusnah daging” kurang berlaku.
Menurut CDC, luka terbuka, diabetes dan penggunaan alkohol ialah faktor yang boleh meningkatkan risiko dijangkiti STSS. Pusat itu turut merekodkan tiga daripada setiap 10 pesakit STSS meninggal dunia.
Faktor risiko, termasuk tempoh selepas baru menjalani pembedahan, atau pernah mengalami virus varicella seperti cacar air atau kayap.
STSS lebih kerap menjangkiti individu berumur lebih dari 65 tahun.
Ia “sangat rapat dikaitkan” dengan necrotizing fasciitis, sejenis jangkitan pemusnah daging disebabkan bakteria Strep Kumpulan A yang boleh berlaku seiring, kata Andrew Steer, pengarah jangkitan, imuniti dan kesihatan global di Murdoch Children’s Research Institute di Melbourne, Australia.
Menurut Penn Medicine, yang bergabung dengan University of Pennsylvania, Necrotizing fasciitis boleh memusnahkan otot, kulit dan tisu asas.
CDC berkata, antara gejala STSS termasuk demam, kesejukan, sakit otot, rasa mual dan muntah-muntah.
Steer berkata, selalunya tiada tanda amaran awal. Individu yang dijangkiti berasa sihat dan tiba-tiba tubuh mengalami kesakitan, diikuti ruam.
Dalam masa 24 hingga 48 jam, tekanan darah menurun, diikuti kegagalan organ dan kadar degupan jantung dan pernafasan yang cepat merosot.
Jika seseorang mengalami keadaan ini, adalah penting mendapatkan rawatan segera di hospital.
-BTS Media