GAMBAR: Reuters
GEMPA kuat yang melanda bahagian tengah Jepun pada Hari Tahun Baharu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya enam orang setakat ini.
Polis dan pihak berkuasa tempatan pada hari Selasa melaporkan kes-kes mayat yang ditarik dari runtuhan bangunan runtuh.
Gempa dengan magnitud awal 7.6 yang melanda petang semalam (Isnin 1 Jan), memusnahkan bangunan, memutuskan bekalan tenaga kepada puluhan ribu rumah dan memaksa penduduk di beberapa kawasan pantai melarikan diri ke tempat lebih tinggi.
Ia juga mencetuskan ombak tsunami dengan ketinggian kira-kira 1 hingga 3 meter di sepanjang pesisir barat Jepun dan juga di Korea Selatan.
Anggota tentera dihantar untuk membantu operasi menyelamat, sementara sebuah lapangan terbang ditutup kerana gempa menyebabkan retakan di landasan.
Stesen TV tempatan NTV melaporkan seorang warga emas ditemukan maut dalam runtuhan bangunan di bandar Shika, wilayah Ishikawa.
Kyodo News melaporkan empat kematian di Ishikawa.
Akhbar Asahi memetik polis berkata seorang lelaki berusia 90-an dikeluarkan dari runtuhan bangunan dan dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida memberitahu pemberita lewat hari Isnin bahawa pasukan mencari dan menyelamat mendapati sukar untuk sampai ke kawasan yang paling teruk kerana jalan raya rosak.
Kerajaan Jepun berkata setakat malam Isnin lebih 97,000 orang di sembilan wilayah di pantai barat pulau utama Honshu telah diarahkan berpindah.
Mereka bermalam di dewan sukan dan gimnasium sekolah, yang biasa digunakan sebagai pusat pemindahan semasa kecemasan.
Menurut laman web Hokuriku Electric Power, hampir 33,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa awal pagi Selasa.
Berikutan bencana itu Maharaja Naruhito dan Maharani Masakoia membatalkan majlis bertemu rakyat pada Tahun Baharu yang dijadualkan pada hari Selasa.
– BTS Media