Oleh Yusoff A. Shariff
PENGERUSI DAP Lim Guan Eng hari ini mengulangi gesaannya agar Putrajaya mengambil teladan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berhubung pelaksanaan program dwi bahasa (DLP).
Lim berkata beliau pada bulan Mac telah menyeru agar kerajaan meneruskan amalan menghormati pilihan ibu bapa untuk kaedah “DLP dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang syarat, gangguan atau sekatan”.
Menurut beliau, menghormati pilihan ini akan membantu mendemokrasikan pendidikan untuk memenuhi kehendak ibu bapa demi kebaikan pelajar.
“Pendemokrasian pendidikan adalah satu pembaharuan penting untuk sistem pendidikan yang terbuka dan progresif.
“Adalah ironis jika kerajaan PN dan BN sebelum ini dilihat lebih progresif atau reformis dengan menghormati pilihan ibu bapa (berbanding kerajaan sekarang),” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Lim berkata ramai ibu bapa Melayu meminta supaya diberikan hak untuk membuat keputusan sendiri sama ada anak mereka diajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia, tanpa mengikut syarat kementerian pendidikan yang menentukan satu kelas diajar dalam Bahasa Malaysia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Buletin TV3 (telah pun dipadamkan) yang katanya memberi gambaran bahawa beberapa sekolah di Pulau Pinang menentang penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
Bekas menteri kewangan itu juga berkata bahawa pemimpin yang merentasi jurang politik memihak untuk kembali kepada pelaksanaan DLP sebelum ini di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.
-BTS Media