PENGERUSI DAP Lim Guan Eng hari ini berkata dia membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghalang dakwaan beliau berhubung Yayasan Albukhary digunakan sebagai bahan kempen semasa pilihan raya negeri nanti.
Beliau memberitahu media demikian di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, laporan polis dibuat berdasarkan Seksyen 499, 504 dan 505 (c) Kanun Keseksaan, lapor Malay Mail.
Seksyen 499 merupakan kesalahan fitnah jenayah yang meliputi ungkapan diterbitkan dengan niat untuk memudaratkan atau dengan pengetahuan atau dengan sebab untuk mempercayai bahawa tuduhan yang dibuat akan menjejaskan reputasi mana-mana orang, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 500 dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan pula adalah berkaitan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan kekacauan, dan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Seksyen 505 (c) menjadikan satu jenayah berhubung sebarang kenyataan yang mungkin menghasut mana-mana golongan atau komuniti untuk melakukan apa-apa kesalahan terhadap kelas atau komuniti lain. Pertuduhan bersalah boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Lim berkata ia adalah perkara yang sangat sensitif kerana beliau mendakwa Muhyiddin telah menuduhnya sebagai menteri kewangan bukan Islam ketika itu membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada pertubuhan amal Islam Yayasan Albukhary.
Sewaktu membuat laporan polis itu, dia diiringi oleh ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, ahli parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, ahli parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, ahli parlimen Bentong Young Syefura Othman, ahli parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, ahli parlimen Ipoh Timur Howard Lee, dan ahli parlimen Jelutong RSN Rayer, dan beberapa orang lagi.
Semalam, Lim mengingatkan Muhyiddin bahawa beliau mempunyai masa sehingga Khamis untuk mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka atas tuduhannya dan menarik balik kenyataannya atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau tidak akan menarik balik dakwaannya.
Lim pertama kali memberi amaran kepada Muhyiddin pada 4 Mac bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang.
Lim mendakwa Muhyiddin gagal mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya.
-BTS Media