BTS Media

Amerika Syarikat kenakan sekatan ke atas firma semikonduktor Malaysia

Oleh Yusoff A. Shariff

AMERIKA Syarikat telah bertindak mengenakan sekatan ke atas firma semikonduktor Malaysia, Jatronics Sdn Bhd, kerana didakwa membekalkan tentera Rusia dengan komponen elektronik penting.

Al Jazeera melaporkan bahawa Jatronics adalah antara kira-kira 300 entiti dalam senarai sekatan Washington kerana didakwa menyokong usaha perang Rusia di Ukraine.

Jatronics, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dituduh menghantar alat ganti elektronik penting ke Rusia yang boleh digunakan dalam peluru berpandu, jet dan dron.

Jurucakap jabatan negara AS memberitahu saluran berita yang berpangkalan di Qatar itu bahawa Jatronics telah membekalkan komponen kepada firma Rusia yang dikaitkan dengan kompleks industri ketenteraan Rusia.

Walaupun pegawai AS tidak mengesahkan sama ada komponen Jatronics benar-benar digunakan dalam peralatan ketenteraan, mereka dipetik berkata bahawa syarikat itu membekalkan item dalam senarai “barangan keutamaan tinggi biasa” yang kritikal untuk sistem senjata berpandukan ketepatan Rusia.

Sekatan itu bermakna aset AS milik entiti yang disasarkan dibekukan, manakala perjanjian dengan negara di bawah bidang kuasa AS disekat, justeru memutuskannya daripada sistem kewangan AS.

Menurut Pusat Kajian Pertahanan Lanjutan (C4ADS), Jatronics menghantar barangan bernilai lebih AS$3 juta ke Rusia antara April 2022 dan September 2023. Penerima termasuk syarikat yang telah pun dikenakan sekatan kerana hubungan mereka dengan tentera Rusia.

Pada bulan Disember lalu, AS menyekat empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia kerana didakwa menyediakan komponen untuk program senjata Iran, terutama untuk membantu dalam pengeluaran dronnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini meletakkan Malaysia sebagai hab neutral bagi rantaian bekalan semikonduktor di tengah-tengah perang teknologi AS-China, yang bertujuan menarik pelaburan baharu sebanyak AS$100 bilion.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa matlamat Malaysia untuk mengekalkan pendirian berkecuali geopolitik sambil mengembangkan industri semikonduktornya boleh mendedahkan firma tempatan kepada tindakan sekatan.

Profesor Zachary Abuza di National War College, Washington memberitahu Al Jazeera bahawa Malaysia berdepan banyak lagi risiko sekatan apabila AS mempergiatkan usaha untuk bertindak ke atas rantaian bekalan Rusia.

Dia berkata langkah diambil bagi menghalang syarikat tertentu berurusan dengan Rusia.

“Mereka meletakkan diri dalam keadaan ancaman sekatan AS, dan Malaysia jelas berada dalam pengawasan AS sekarang ini,” katanya.

-BTS Media

-BTS Media

Leave a Comment