BTS Media

Israel bengang kerana Sepanyol, Norway dan Ireland rasmi iktiraf negara Palestin

GAMBAR: SAMAA TV

 

SEPANYOL, Norway dan Ireland secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada hari Selasa (28 Mei) dalam usaha serentak oleh tiga negara Eropah barat itu untuk menambah tekanan antarabangsa ke atas Israel kerana genosid di Gaza.

Berikutan itu, Tel Aviv dengan sombong menyelar langkah tersebut yang dilihat oleh puak Zionis sebagai tindakan sia-sia.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez yang berucap kepada rakyat negara itu melalui TV, berkata “ini adalah keputusan bersejarah yang mempunyai matlamat utama untuk membawa keamanan di wilayah berkenaan.”

Dalam respons melalui X, Menteri Luar Israel Israel Katz juga dengan pantas menyelar Sepanyol, sambil mengatakan bahawa kerajaan Sánchez “bersubahat menyokong pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Yahudi dan jenayah perang,” tanpa mengambil kira lebih 36,000 penduduk Gaza, termasuk wanita, OKU, kanak-kanak dan warga emas yang dibunuh oleh tentera Israel.

Tidak lama selepas pengumuman oleh Sepanyol itu, Ireland dan Norway pula turut mengisytiharkan sokongan rasmi kepada penubuhan negara berdaulat Palestin. Bendera Palestin dengan segera dinaikkan di Dublin di luar Leinster House, iaitu bangunan parlimen Ireland.

“Ini adalah detik penting dan bagi saya ia menghantar isyarat kepada dunia bahawa terdapat tindakan praktikal yang boleh diambil sebagai sebuah negara untuk membantu mengekalkan harapan dan mencapai penyelesaian dua negara pada masa Israel dan konco-konconya dengan ganas cuba memusnahkan keseluruhan Gaza,” kata Perdana Menteri Ireland Simon Harris sebelum Kabinetnya bermesyuarat untuk menandatangani keputusan itu secara rasmi.

Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Norway Espen Barth Eide berkata, “selama lebih 30 tahun, Norway antara penyokong kuat negara Palestin. Hari ini, apabila Norway secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, ia adalah detik penting dalam hubungan antara Norway dan Palestin.”

Walaupun kira-kira 140 negara telah mengiktiraf penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat, iaitu lebih daripada dua pertiga daripada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tiada satu pun kuasa besar Barat melakukannya.

Pengumuman oleh tiga negara Eropah itu telah memberikan kemenangan bagi usaha Palestin mendapat sokongan dunia, dan seterusnya diharap menguatkan lagi tekanan negara-negara Eropah lain yang masih menyokong kegilaan Israel membunuh penduduk Gaza.

-BTS Media

Leave a Comment