Oleh Fetty Rara
AUSTRALIA pada Selasa (18 Okt) berkata negara itu tidak lagi mengiktiraf Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu negara Israel.
Ia merupakan pembalikan keputusan yang dibuat oleh kerajaan konservatif sebelum ini.
Menteri Luar Penny Wong berkata status Baitulmuqaddis harus diputuskan melalui rundingan damai antara Israel dan Palestin, dan bukan melalui keputusan sebelah pihak, lapor ABC News.
“Kami tidak akan menyokong pendekatan yang menjejaskan prospek ini,” katanya, sambil menambah “kedutaan Australia sentiasa berada, dan kekal di Tel Aviv”.
Kerajaan konservatif yang diketuai oleh Scott Morrison dikecam meluas pada 2018 apabila dianggap menyembah kepada pentadbiran bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyokong penamaan Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu negara Israel.
“Saya sedar ini telah menyebabkan konflik dan kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat Australia, dan hari ini kerajaan berusaha untuk menyelesaikannya,” kata Wong.
Beliau menuduh sebelum ini kerajaan pimpinan Morrison didorong berbuat demikian semasa demi untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Yahudi pada pilihan raya kecil di kawasan Wentworth, yang terletak di pinggir bandar raya Sydney.
Keputusan 2018 itu juga mencetuskan kekecohan di Indonesia, hingga menyebabkan usaha perdagangan bebas dengan Australia terjejas sementara.
Baitulmuqaddis direbut oleh Israel dan Palestin.
Walaupun AS, Israel dan beberapa negara sekutu mereka menyokong pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, namun sebahagian besar negara di dunia enggan memindahkan kedutaan masing-masing ke situ memandangkan status muktamad bandar raya itu masih belum ditentukan.
Israel menduduki kawasan Arab timur Baitulmuqaddis selepas perang Enam Hari 1967, dan mengisytiharkan seluruh kota itu sebagai “ibu kota”.
Bagi pihak Palestin pula, bahagian timur Baitulmuqaddis tetap akan dijadikan ibu negara Palestin kemudian kelak.
Keputusan terbaharu Australia itu, bagaimanapun, menurut Wong tidak bererti Australia bermusuh dengan Israel, dan akan terus menjadi kawan setia.
Australia antara negara pertama di dunia mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Pembalikan dasar Australia itu memang telah dijangka kerana sebelum ini Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Australia telah menggugurkan rujukan berhubung isu ibu negara Israel itu dalam laman webnya.
-BTS Media