LONDON: Perdana Menteri Britain Rishi Sunak pada hari Rabu (22 Mei) menetapkan 4 Julai sebagai tarikh pilihan raya kebangsaan bagi menentukan siapa yang mentadbir United Kingdom seterusnya.
Parti Konservatif Sunak menyaksikan sokongannya merosot selepas 14 tahun berkuasa. Ia kini bergelut untuk mengatasi beberapa siri krisis termasuk kemerosotan ekonomi, skandal etika dan isu kepimpinan.
Parti Buruh berhaluan tengah diramal boleh mengalahkan parti Sunak.
Spekulasi mengenai pilihan raya timbul selepas Sunak memanggil mesyuarat Kabinet pada petang hari Rabu – berbanding kebiasaannya hari Selasa – dan Setiausaha Luar David Cameron balik awal dari lawatan ke Albania.
Pilihan raya itu akan diadakan berlatar belakang krisis kos sara hidup dan isu mendalam mengenai cara menangani pendatang dan pencari suaka di UK.
Pengundi di seluruh United Kingdom akan memilih kesemua 650 ahli Dewan Rakyat untuk tempoh sehingga lima tahun. Parti yang menguasai majoriti dalam Dewan Rakyat, sama ada bersendirian atau dalam gabungan, akan membentuk kerajaan seterusnya dan ketuanya akan menjadi perdana menteri.
Parti Konservatif telah kalah dalam beberapa siri pilihan raya kecil untuk kerusi di Parlimen tahun ini, dan dua ahli parlimennya baru-baru ini berpaling tadah menyokong parti Buruh.
Pilihan raya di UK perlu diadakan selang tidak lebih lima tahun, tetapi perdana menteri boleh memilih masa dalam tempoh itu.
Sunak, 44, mempunyai masa sehingga Disember untuk mengadakan pilihan raya.
Walaupun inflasi menurun, janji Sunak yang lain, termasuk untuk mengembangkan ekonomi, mengurangkan hutang negara, menangani isu masa menunggu panjang untuk berjumpa doktor di hospital yang dikendalikan kerajaan dan menghentikan kemasukan pendatang melintasi Selat Inggeris dilihat sebagai faktor mencabar.
-BTS Media