BTS Media

Penduduk Gaza menderita terkepung: Tentera Israel serang Gaza dari utara dan selatan

GAMBAR: Anadolu

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Tentera Israel kini sedang mara jauh ke wilayah pinggir utara Gaza pada hari Isnin untuk menawan semula kawasan daripada pejuang Hamas, manakala di selatan kereta kebal dan tentera merempuh lebuh raya menuju ke Rafah.

Keadaan ini menyebabkan penduduk Gaza yang mencari perlindungan di Rafah dan yang dalam perjalanan ke sana bertempiaran lari untuk mencari tempat selamat.

Pada saat ini, pertempuran paling sengit yang bermula sejak beberapa berminggu lalu menyebabkan keadaan di utara dan selatan Gaza kembali bergolak.

Operasi ganas Israel di Rafah, yang bersempadan dengan Mesir, telah menutup satu-satunya jalan keluar bagi pelarian Palestin dari Gaza.

Badan kemanusiaan berkata ini memburukkan keadaan yang sudah teruk, kerana kawasan itu bertambah sesak dengan ketibaan beribu lagi pelarian, lapor Reuters.

Kira-kira separuh daripada penduduk Gaza kini cuba mendapatkan perlindungan di sana selepas Israel mengusir mereka dari utara Gaza pada bulan Oktober lalu bagi memenuhi agenda jahat menempatkan peneroka Zionis sebagai ganti.

Di Jabalia, utara Gaza, yang merupakan sebuah kem pelarian besar untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal 75 tahun lalu, tentera Israel dengan ganas menceroboh atas alasan kononnya memburu pejuang Hamas.

Semalam, lebih 20 mayat penduduk Gaza, kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak bergelimpangan di atas jalan raya selepas pesawat pejuang Israel menyerang kumpulan pelarian yang tidak berdosa.

“Kami tidak tahu ke mana lagi hendak pergi. Kami berpindah dari satu tempat ke satu tempat, lalu memilih untuk berlari di jalan raya yang kemudian disasarkan oleh tentera Israel, “ kata seorang wanita yang enggan dinamakan.

Sementara itu, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza membunuh sekurang-kurangnya lapan orang, kata Mahmoud Basal, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza. Beliau berkata beberapa orang lain cedera dan hilang.

Menurut pegawai kesihatan Gaza, setakat ini angka kematian penduduk Palestin berikutan genosid di Gaza telah melepasi 35,000 orang, dengan 57 terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu.

-BTS Media

Leave a Comment