BTS Media

Tentera Israel mara ke selatan Gaza, ratusan ribu orang awam lari cari perlindungan

GAMBAR: AFP

 

TENTERA Israel pada hari Ahad mara ke selatan Gaza, di mana ratusan ribu orang awam Palestin  melarikan diri untuk mencari perlindungan daripada pengeboman dan pertempuran sengit.

Memandangkan keadaan yang amat berbahaya itu, badan-badan bantuan telah memberikan amaran bahawa satu lagi tragedi kemanusiaan akan berlaku di wilayah Palestin yang kini di ambang wabak penyakit dan kebuluran.

AFP melaporkan bahawa tentera Israel  telah melancarkan satu siri “serangan ganas” menyasarkan bandar selatan Khan Yunis dan jalan raya yang menuju ke Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir.

Angka terbaharu daripada kementerian kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 17,700 orang, kebanyakannya wanita, warga emas dan kanak-kanak terkorban sepanjang dua bulan pertempuran.

Memandangkan tiada lagi pilihan, penduduk seluruh Semenanjung Gaza terpaksa mencari perlindungan di hospital pada hari Sabtu.

Di utara Gaza City, wartawan AFP melaporkan beribu-ribu orang berlindung di hospital Al-Shifa, yang tidak lagi berfungsi kerana sebahagian besar kompleks tersebut musnah berikutan serbuan Israel bulan lalu. Beratus-ratus khemah sementara yang diperbuat daripada sisa fabrik dan plastik memenuhi halaman hospital tersebut.

 

-BTS Media

Leave a Comment