GAMBAR: Reuters.
APABILA askar Israel menceroboh sebuah sekolah di Gaza di mana Yousef Khalil sedang tidur berhampiran keluarganya, mereka terus menembak secara rambang, dan membunuh sembilan orang termasuk kanak-kanak, katanya sambil menunjuk kesan peluru pada dinding yang berlumuran darah.
Kejadian itu menimbulkan persoalan baharu mengenai cara tentera Israel beroperasi dalam peperangan yang terbukti mengakibatkan puluhan ribu kematian orang awam Palestin di Gaza, lapor Reuters.
Menurut Khalil, dia mendapatkan perlindungan bersama keluarganya pada awal bulan Disember di sekolah Shadia Abu Ghazaleh yang terletak di kem pelarian Jabalia, utara Gaza di mana beberapa pertempuran sengit berlaku baru-baru ini.
“Mereka adalah anak dan cucu saya, dan mereka dibunuh dengan kejam di depan mata saya,” kata Khalil.
Pada waktu kejadian dia sedang tidur, manakala dua lagi anggota keluarganya sedang duduk. Askar Israel tiba-tiba menyerbu masuk ke bilik dan melepaskan tembakan rambang ke arah semua yang berada di dalam.
Setelah tembakan berhenti, Khalil, yang terselamat bergerak untuk keluar, tetapi ditanya oleh askar Israel ke mana dia mahu pergi. Khalil berkata hendak memeriksa keadaan anak-anaknya yang sudah pun meninggal dunia.
Dalam kejadian itu, mereka yang terselamat dan tidak sempat melarikan diri ditahan oleh tentera Israel.
Seminggu selepas itu, mereka yang terselamat kembali ke lokasi dan mendapati mayat-mayat masih berada di mana mereka dibunuh.
Reuters sebelum ini pernah menyiarkan klip rakaman video keadaan sekolah di mana kejadian berlaku pada 13 dan 15 Disember lalu.
Kejadian itu antara serangan yang menambahkan lagi kemarahan dunia terhadap Israel.
Jumlah penduduk Gaza yang terbunuh setakat ini telah mencecah hampir 20,000 orang.
-BTS Media