BTS Media

Keadaan kesihatan speaker Dewan Negara ‘serius’ – Timbalan Menteri

KEADAAN kesihatan Speaker Dewan Negara Mutang Tagal serius, menurut seorang timbalan menteri Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Gerawat Gala berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh keluarga Mutang, yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

“Saya baru menerima maklumat keadaan kesihatan (Mutang) masih serius, tidak banyak perubahan selepas beliau pulang ke Kuala Lumpur dari Azerbaijan.

“Kita doakan beliau cepat sembuh,” katanya, lapor The Borneo Post.

Gerawat berkata, masalah jantung yang dihidapi Mutang mengejutkannya, kerana selama ini menganggap beliau sangat cergas dan sihat.

“Malah, kami selalu main golf bersama,” katanya.

Semalam, pejabat speaker Dewan Negara menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat palsu mengenai keadaan kesihatan Mutang.

Mutang mengetuai delegasi Malaysia ke Azerbaijan untuk Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya ke-6, yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei di Baku.

Bagaimanapun, beliau jatuh sakit dan dirawat di sana sebelum pulang ke Malaysia pada 6 Mei untuk menerima rawatan lanjut. Beliau dimasukkan ke IJN sebaik tiba di Kuala Lumpur.

Mengambil alih tugas Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Mutang dilantik sebagai speaker Dewan Negara pada 19 Feb, Bumiputera Sarawak pertama memegang jawatan itu.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/05/08/keadaan-kesihatan-speaker-dewan-negara-serius-kata-timbalan-menteri-sarawak/

Leave a Comment