BTS Media

Rais Yatim: Speaker Dewan Rakyat baharu tidak sepatutnya menteri atau senator

Oleh Yusoff A. Shariff

SPEAKER Dewan Rakyat yang baharu tidak sepatutnya dipilih daripada mereka yang memegang jawatan sama ada dalam Kabinet atau Dewan Negara, kata Presiden Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.

Rais berkata, mana-mana senator yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat perlu  meletak jawatan di Dewan Rakyat terlebih dahulu, lapor Utusan Malaysia hari ini.

“Sekiranya ada mana-mana senator yang mahu menjadi Speaker, beliau mesti meletakkan jawatan terlebih dahulu supaya beliau boleh dilantik sebagai Speaker,” katanya.

Beliau menambah bahawa individu yang dilantik Speaker juga tidak boleh mempunyai sebarang kes jenayah yang belum selesai, atau dijatuhkan hukuman penjara, atau muflis, atau tidak siuman.

Persidangan pertama Dewan Rakyat ke-15 dijadualkan pada 19 Disember dan agenda pertama ialah pelantikan Speaker, yang kini disandang oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Azhar sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan berundur secara rasmi daripada jawatan itu pada 18 Disember. Beliau juga berkata perlu ada pemilihan Speaker sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Sungai Petani PKR Johari Abdul dan Ahli Parlimen Barisan Nasional Cameron Highlands Ramli Md Nor antara calon.

Mengikut konvensyen, Speaker Dewan Rakyat dilantik daripada kalangan ahli Dewan, tetapi terdapat pengecualian. Spekulasi juga tersebar bahawa bekas Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mungkin dicalonkan.

Wan Junaidi sebelum ini adalah menteri undang-undang de facto dan juga bertanggungjawab bagi hal ehwal parlimen.

Ariff yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat kesembilan dari Julai 2018 hingga Julai 2020, pernah menjadi hakim tetapi tidak pernah menjadi wakil rakyat.

Gabungan pembangkang Perikatan Nasional juga telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan calon sendiri tetapi belum menamakan sesiapa setakat ini.

-BTS Media

Leave a Comment