GAMBAR ATAS: Gage Skidmore from Peoria, AZ, United States of America, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Feste KR
SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi tiba di Malaysiai hari ini (Selasa 2 Ogos) dalam rangka lawatan rasminya ke empat negara Asia.
Pesawat khas yang membawa Pelosi dan delegasi kongres mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang pada kira-kira pukul 10.30 pagi.
Pelosi, 82, dan delegasinya, termasuk pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Gregory Meeks, disambut oleh timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon. Turut hadir AS ke Malaysia Brian D McFeeters, lapor Bernama.
Ini merupakan lawatan pertama Pelosi ke Malaysia. Beliau pemimpin nombor tiga dalam barisan penggantian presiden AS dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai speaker Dewan Perwakilan AS.
Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Pelosi selepas Singapura pada Isnin sebelum beliau menuju ke Korea Selatan dan Jepun.
Lawatannya diperhatikan dengan teliti, terutama oleh Komunis China yang membantah kunjungannya ke Taiwan.
Pelosi dijangka mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun di bangunan Parlimen pada tengah hari sebelum majlis makan tengah hari dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurut siaran media daripada pejabatnya, beliau akan menumpukan kepada isu keselamatan, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Asia-Pasifik.
Kenyataan tersebut tidak menyebut sama ada beliau akan melawat Taiwan di tengah-tengah spekulasi sejak lewat Isnin bahawa dia mungkin akan singgah di pulau itu.
Jika spekulasi menjadi realiti, ia bakal menimbulkan kemarahan China yang menganggap lawatan ke Taiwan oleh pemimpin Amerika sebagai menggalakkan pendirian puak pro-kemerdekaan di pulau itu.
Kementerian Luar China berkata sekiranya Pelosi melawat Taiwan, Beijing akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya, dan AS akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua akibat daripada lawatan itu.
AS menjalin hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur pada 1957 berikutan kemerdekaan Tanah Melayu.
Washington dan Kuala Lumpur meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif pada April 2014.
-BTS Media