PRESIDEN MCA Wee Ka Siong berkata partinya tidak akan menyokong DAP dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu selepas segala penghinaan yang dilemparkan mereka.
Beliau berkata DAP sesuka hati mengkritik MCA dengan kebencian ketara, tapi sekarang mereka mengharapkan MCA membantu dan menyokong kempen di KKB.
“Selepas kamu secara terbuka menghina dan mencaci MCA sekarang kamu mengharapkan kami membalas dengan kebaikan?” katanya dalam video TikTok.
Wee menyerlahkan kejadian di mana DAP menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu dan gagal memansuhkan sistem kuota bumiputera.
Dalam video itu, beliau turut menyelitkan klip Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menggelar MCA sebagai “parti taukeh”, dan secara terbuka mengatakan beliau tidak menyukai MCA.
@drweekasiong Baru saja habis maki hamun MCA, sekarang nak kami bantu DAP di KKB? Nak membalas budi DAP atas jasa mencaci MCA? Sorry yeh …..
“Sejak bila kita hendak membalas penghinaan? Selepas semua penghinaan itu, mereka meminta ahli kita berbaik semula dan bekerjasama. Ini adalah soal kebanggaan dan maruah ahli MCA kita.”
Wee juga menyentuh tentang implikasi meminta Barisan Nasional membayar balik tindakan DAP, dan mempersoalkan sama ada ia bermakna MCA harus membalas penghinaan DAP.
“Kami bukan parti hipokrit dan kami lebih suka berterus-terang. Kami telah bekerjasama dengan MIC dan UMNO dalam Barisan Nasional sejak sebelum merdeka dan berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya menghargai persahabatan dan kesetiaan kami, yang mana adalah asas perjuangan kami dari mula hingga sekarang.
“Kami menghormati persahabatan dan keakraban dalam BN selama…letakkan diri anda dalam kedudukan MCA, selepas semua yang kami dituduh, difitnah dan dihina, adakah kamu akan menyokong mereka?”
MCA sebelum ini menyatakan tidak akan berkempen bagi PRK KKB sekiranya calon yang mewakili kerajaan perpaduan itu bukan daripada BN.
Bagaimana pun, presiden UMNO dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya akan berpegang kepada prinsip dan menghormati persetujuan membenarkan parti yang memegang kerusi itu bertanding.
Kerusi DUN KKB kosong berikutan kematian penyandang DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac. Pilihan raya kecil itu dijadualkan pada 11 Mei.
-BTS Media