BTS Media

Wanita mengaku salah serang lelaki sindrom Down dalam lif

SEORANG wanita berusia 39 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau pada hari Selasa (23 April) atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki sindrom Down.

Oo Saw Kee mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada A. Solairaj, 33, dengan menyimbah air panas daripada botol ke arah mangsa, hingga menyebabkan mangsa melecur semasa berada dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada pukul 9.24 pagi 19 April.

Dia kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Promoter jualan itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau sebat, jika didapati bersalah.

Peguam Edric Loo mewakili Oo secara pro bono manakala pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Noordin Ismail.

Terdahulu, pada malam hari Jumaat (20 April) polis menahan seorang wanita yang didakwa menyimbah air panas ke arah seorang lelaki sindrom Down dalam lif pangsapuri, di Balik Pulau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Supt Jafri Md Zain berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul pukul 9.21 malam di perkarangan pangsapuri berkenaan.

“Wanita itu tinggal di kawasan pangsapuri tersebut dan dia direman hari ini (20 April) bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah pangsapurinya di tingkat 16.

Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa melecur di bahagian depan dan belakang sebelah kanan akibat terkena air panas. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Video kejadian berkenaan turut tular di media sosial, dengan orang ramai mengecam tindakan wanita itu.

-BTS Media

Leave a Comment