Oleh Fetty Rara
LELAKI yang dilihat mendera anjing di Johor Baru dalam video tular baru-baru ini telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam video sepanjang 45 saat yang disiarkan di bawah nama pengguna Facebook Braden Yap, lelaki itu mengakui apa yang dilakukannya adalah salah dan berharap orang ramai dapat memberinya peluang kedua.
“Saya faham, dan bagaimana sekali dijelaskan, saya tidak sepatutnya berbuat demikian. Saya mengaku itu adalah kesilapan saya dan saya menyesalinya.
“Saya amat kesal dan berjanji tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada masa hadapan. Saya harap semua orang dapat memberi saya peluang sekali lagi.
“Saya juga akan membayar kos perubatan (anjing yang cedera),” katanya dalam video yang disiarkan di Facebook pada Jumaat (31 Mac).
Klip video yang dikongsi meluas di media sosial itu menunjukkan lelaki itu membaling objek ke arah beberapa ekor anjing yang tumpang berteduh di tepi sebuah tangga.
Suspek yang dilihat beberapa kali muncul di lokasi, bukan sekadar mendera, malahan sanggup bertindak membakar seekor daripada anjing-anjing itu.
Tindakannya tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada 2.59 petang Isnin (27 Mac).
Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran sebuah klinik veterinar di Taman Impian Emas di Skudai.
Supt Fariz Ammar menambah, kes penderaan haiwan itu disiasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang membawa hukuman denda sekurang-kurangnya RM25,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.
-BTS Media