ALIRAN trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan tengah hari ini apabila lebih ramai orang menuju ke kampung halaman masing-masing untuk sambutan Aidilfitri.
Setakat pukul 3.30 petang, trafik sesak di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik agak perlahan dari Gombak menuju ke Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, dan ke arah terowong Genting Sempah berikutan kerosakan sebuah treler di KM 35.3.
“Trafik juga perlahan dari Bukit Tinggi ke Lentang dan dari Petronas Bentong ke Bentong,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Keadaan trafik yang sama turut dilaporkan dari Gua Tempurung ke Gopeng, Ipoh Utara ke terowong Menora, Juru ke Perai dan Permatang Pauh ke Sungai Dua.
Bagi laluan menghala ke selatan, trafik perlahan dari Senai Utara ke Kulai dan dari Kempas ke simpang Datuk Onn.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui Plusline bebas tol di 1-800-88-0000 dan Twitter halaman di www.x.com
-BTS Media