KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Beliau berkata pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.
“Keputusan ini adalah melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bertujuan meraikan kesemua rakyat terutama masyarakat beragama Islam yang menyambut Aidilfitri dan sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.
“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini juga, jumlah kenderaan dijangka meningkat 2.46 juta sehari di kesemua jaringan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (arah Selatan) pada hari Khamis.
Dalam pada itu beliau berkata bagi pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), mereka digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi digital MyPLUS-TTA.
Beliau berkata menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.
Nanta berkata bagi mengurangkan kesesakan semasa Aidilfitri ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang telah dikenal pasti berlaku kesesakan kritikal bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar.
Menurutnya bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan Smart Lane semasa perayaan Tahun Baharu Cina Februari lalu.
Katanya, pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane dibuat di setiap sela 500 meter (m) dan papan tanda amaran 200m sebelum ia bermula dan berakhir, selain pemasangan lampu indikasi SmartLane (blinking light) setiap satu kilometer.
“Selain itu, paparan Mesej Elektronik (VMS) mudah alih turut dibuat untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/penamatan operasi Smart Lane.. ia hanya diaktifkan pada waktu puncak sekali gus meringankan beban pengguna,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna motosikal supaya berwaspada ketika menggunakan lorong kecemasan berikutan kemungkinan mereka tidak menyedari lorong itu telah diaktifkan Smart Lane dan ada kenderaan lain turut menggunakan laluan itu.
Sementara itu, beliau berkata dari 1 hingga 17 April ini, mana-mana lorong di lebuh raya tidak boleh ditutup untuk kerja penyelenggaraan bagi melancarkan aliran lalu lintas dan mengelakkan kesesakan sekali gus memudahkan pengguna lebuh raya.
“Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaran yang tidak melibatkan penutupan lorong boleh dilakukan kecuali ada kecemasan atau kemalangan, memang kita terpaksa tutup lorong.. pada masa sama, PLUS turut menyediakan 11 lokasi yang ada Emergency Response Team (ERT),” katanya.
Baca lagi: https://www.hmetro.com.my/utama/2024/03/1074930/aidilfitri-tol-percuma-pada-8-dan-9-april