TOKOH Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee meninggal dunia pada usia 83 tahun awal pagi tadi (Jumaat 29 Mac).
Pemergian wartawan veteran itu disahkan isterinya, Noraini Shariff.
“Suami saya Ahmad Rejal Arbee telah kembali ke Rahmatullah pada pukul 2 pagi hari ini,” katanya dalam catatan Facebook pada hari Jumaat.
Jenazah Ahmad Rejal dibawa ke Masjid Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, untuk solat jenazah pada pukul 9.30 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21.
Allahyarham adalah adalah bekas ketua pengarang Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan bekas pengarang kumpulan Berita Harian.
Beliau menyertai Bernama sebagai pengarang kanan pada tahun 1969 sebelum dihantar ke Jakarta, Indonesia sebagai koresponden luar negara pertama agensi itu pada tahun1973.
Ahmad Rejal adalah antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa dan juga antara pasukan pengasas Bernama.
Sepanjang tempoh di agensi berita itu, Ahmad Rejal pernah berkhidmat sebagai ketua meja politik dan parlimen, dan kemudian dilantik sebagai timbalan pengarang dan ketua perkhidmatan ekonomi sebelum menyertai The New Straits Times pada tahun1976.
Bagaimanapun, Ahmad Rejal menyertai semula Bernama sebagai ketua pengarang pada tahun 1981 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada tahun 1989.
Beliau juga pernah menjadi pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) dari bulan Januari 1984 hingga April 1989.
Ahmad Rejal dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara semasa Anugerah Kewartawanan MPI-Petronas 2014 untuk sumbangan cemerlang beliau kepada negara dalam bidang kewartawanan. Bekas pengarang bersekutu kumpulan New Straits Times, Allahyarham Zainon Ahmad diberikan anugerah yang sama secara anumerta.
-BTS Media