BEKAS YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada usia 87 tahun sekitar jam 4.00 pagi tadi di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Berita dikongsikan anaknya yang juga Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar.
“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dilaporkan mengesahkan pemergian Taib, berkata jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke Kuching hari ini dan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir.
Jenazah pemimpin veteran itu kemudiannya akan dikebumikan di sebelah pusara arwah isteri pertamanya Allahyarhamah Laila Taib, di kediaman mereka di Demak Jaya.
Taib berkhidmat selama tiga penggal sebagai TYT Sarawak dari 1 Mac 2014, sehingga 26 Jan tahun ini, apabila Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.
Dia juga merupakan ketua menteri paling lama berkhidmat di Sarawak dari 1981 hingga 2014.
Sebelum ini, Abdul Taib merupakan satu-satunya tokoh politik era penubuhan Malaysia yang masih hidup dan pernah berada dalam kabinet negeri Sarawak yang ditubuhkan pada 22 Julai 1963.