BTS Media

Mahkamah India haramkan sekolah Islam, madrasah menjelang pilihan raya

Oleh Yusoff A. Shariff

MAHKAMAH India telah mengarahkan pengharaman sekolah Islam dan semua madrasah di sebuah negeri paling ramai penduduk di negara itu.

Susulan itu, berjuta-juta pelajar akan dipindahkan ke sekolah biasa, dalam apa yang dilihat sebagai satu langkah untuk mencengkam umat Islam menjelang pilihan raya kebangsaan.

Dengan tindakan itu, Mahkamah Tinggi Allahabad di negeri Uttar Pradesh telah membatalkan undang-undang 2004 yang mengawal kegiatan madrasah di negeri itu pada hari Jumaat.

Menurut mahkamah, undang-undang kawalan sekolah Islam melanggar sistem sekularisme perlembagaan.

Hakim Subhash Vidyarthi dan Vivek Chaudhary berkata kerajaan negeri akan mewajibkan kanak-kanak berumur antara enam hingga 14 tahun memasuki sekolah biasa.

Sekolah Islam yang sejak zaman dahulu merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan di negeri-negeri ramai penduduk Islam, menggunakan kurikulum pendidikan Islam, manakala sekolah-sekolah lain di India mengikuti sistem konvensional.

Langkah terbaharu ini menyebabkan lebih 2.7 juta pelajar dan sekitar 10,000 guru di 25,000 sekolah Islam dihentikan, kata ketua lembaga pendidikan madrasah di negeri itu Iftikhar Ahmed Javed, lapor akhbar Independent United Kingdom.

Walaupun mahkamah tidak menyatakan tarikh mula berkuat kuasa, namun dipercayai semua sekolah Islam dan madrasah akan ditutup serta-merta.

Uttar Pradesh, yang terletak di bahagian timur laut India, menempatkan satu perlima daripada 240 juta orang penduduk beragama Islam.

Jurucakap cabang Uttar Pradesh Parti Bharatiya Janata (BJP) yang pro-Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Pradesh Rakesh Tripathi, mendakwa kononnya langkah itu hanya mengambil berat tentang pendidikan pelajar Islam.

Menurut angka daripada sebuah badan penganalisis berpangkalan di Amerika Syarikat, purata dua kejadian rasmi ucapan kebencian Muslim berlaku setiap hari pada 2023 di India.

Laporan yang diterbitkan minggu ini oleh India Hate Lab (IHL), berkata sebilangan besar kejadian anti-Islam berlaku di negeri yang ditadbir oleh parti BJP.

Kekerapan ucapan kebencian memuncak dari bulan Ogos hingga November tahun lalu – tempoh yang bertepatan dengan kempen politik dan fasa pengundian dalam empat pilihan raya negeri utama.

India akan mengadakan pilihan raya umum mulai bulan depan, dalam mana Modi berhasrat untuk terus berkuasa di negara itu bagi penggal ketiga yang jarang berlaku.

Bagaimanapun, penduduk Islam dan kumpulan hak asasi manusia di negara itu mengecam kerajaan Modi dan sekutunya kerana secara sistematik menghasut kebencian terhadap Islam, selain mengatur pemusnahan hartanah milik orang Islam.

-BTS Media

Leave a Comment