GAMBAR: Facebook i-Guru.
Oleh Fetty Rara
Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Kelantan memutuskan bahawa menurut Perlembagaan, sekolah vernakular adalah sah.
Hakim Roslan Abu Bakar pada Ahad (29 Mei) berkata kewujudan sekolah vernakular perlu dibaca dalam konteks sejarah.
Menolak saman oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), beliau berkata hasrat penggubal Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan untuk mengekalkannya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
Saman tersebut difailkan tahun lepas menerusi presiden i-Guru, Azizee Hasan sebagai mencabar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan.
Beliau yang diwakili oleh peguam Shaharudin Ali menamakan menteri pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.
Peguam Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil sebagai pencelah, berkata, hakim tidak mengeluarkan perintah kos kerana perkara ini adalah isu kepentingan awam.
Pihak lain yang dibenarkan menjadi pencelah, termasuk MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali pada 30 Disember 2021 turut menolak saman yang sama difailkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena).
Sekolah vernakular diiktiraf sejak sebelum Merdeka dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan
Mereka mencabar bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu bahasa kebangsaan Malaysia.
Hakim Nazlan, dalam kenyataan bertulisnya menjelaskan bahawa sekolah vernakular telah lama diiktiraf dalam kerangka sistem pendidikan sejak sebelum Merdeka dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang kemudian dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan berkata, ini terbukti dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan Ordinan Pelajaran 1957.
Nazlan berkata selepas negara mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada sekolah vernakular di bawah Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Tambah beliau, hak kerajaan ini yang tercatat dalam Perlembagaan tidak hanya terhad kepada pembelajaran Tamil dan Mandarin, malahan juga diperluaskan penggunaan sebagai bahasa pengantar.
Oleh itu katanya, kerajaan melalui Akta Pendidikan terus memelihara dan mengekalkan penggunaan serta pembelajaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara ini.
GPMS, Mappim dan Gapena telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
-BTS Media