BTS Media

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Perhilitan batal saman oleh penduduk, NGO

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Zainal AS Rashid

MAHKAMAH Tinggi di Seremban menolak permohonan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk membatalkan saman seorang penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan berhubung dakwaan penakaian Lotong Cengkung (Dusky Leaf Monkey) di Port Dickson.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili plaintif berkata Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan juga menetapkan 8 hingga 11 Jan 2024, untuk mendengar kes tersebut, lapor The Star.

“Mahkamah memberi kami arahan untuk praperbicaraan, pengurusan kes dan dokumen yang diperlukan untuk difailkan.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya juga ditetapkan pada 7 Feb tahun depan,” katanya ketika dihubungi.

Rajesh mewakili Nurul Azreen Sultan, seorang penduduk di Taman Raja Zainal di Port Dickson di mana monyet-monyet itu didakwa ditembak dan dibunuh, serta NGO Hak Asasi  Hidupan Liar Malaysia (HIDUP).

Rajesh, yang juga pengasas Lawyers for Animal Rights, berkata pertikaian utama plaintif ialah bahawa peranan Perhilitan adalah untuk melindungi hidupan liar dan mereka tidak sepatutnya memusnahkan haiwan yang terancam itu.

Defendan ialah anggota Perhilitan Ismail Abdullah, 39; Amirul Faries Idris, 34; dan Mohd Saiful Asnawi Abdul Mutalib, 27; ketua pengarah jabatan itu dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Dalam saman yang difailkan pada 21 Julai tahun lalu, plaintif mendakwa lebih 20 lotong cengkung dewasa dan anak mati ditembak semasa operasi dijalankan jabatan itu sekitar pukul 10.00 pagi pada 19 Mei.

Mereka mendakwa bangkai haiwan itu kemudian dimasukkan ke dalam guni dan dibawa pergi.

Dalam saman itu, mereka juga mendakwa adalah pengetahuan umum bahawa lotong cengkung adalah spesies yang sangat pemalu, dan defendan telah salah membuat kesimpulan bahawa primat itu boleh menyerang manusia.

Jabatan itu, mereka mendakwa, tidak berhak memusnahkan haiwan yang turut disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Fauna Liar Terancam yang mana Malaysia telah menandatanganinya.

Dengan memusnahkan “hidupan liar dilindungi sepenuhnya”, defendan telah melanggar Seksyen 86 (1)(f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika dengan sengaja menyebabkan sebarang penderitaan, kesakitan atau ketidakselesaan yang tidak perlu kepada mana-mana hidupan liar.

Pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Plaintif menyatakan bahawa defendan tidak mempunyai justifikasi untuk memusnahkan haiwan itu kerana mereka tidak menimbulkan sebarang ancaman segera kepada sesiapa.

Perhilitan memfailkan permohonan pada 11 Okt tahun lepas untuk membatalkan saman itu.

Susulan insiden tembakan itu, Perhilitan dalam satu kenyataan pada Mei tahun lalu berkata ia terpaksa memusnahkan tujuh lotong cengkung dewasa kerana haiwan itu telah menyebabkan kecederaan serius kepada manusia sebanyak tiga kali pada tahun yang sama.

Mereka mendakwa ketujuh-tujuh monyet itu agresif dan terpaksa dibunuh selepas percubaan untuk memerangkap atau memindahkan mereka gagal.

Perhilitan juga menafikan laporan bahawa 20 lotong cengkung ditembak mati dalam operasi itu.

Jabatan itu juga menyatakan tiada monyet juvana terbabit dalam operasi itu, seperti yang disebut dalam laporan tular.

Perhilitan berkata keputusan untuk bertindak adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar, yang membenarkan penakaian mana-mana hidupan liar yang mendatangkan bahaya kepada manusia atau harta benda.

-BTS Media

Leave a Comment