MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima anggota mendapati permohonan bukti baharu oleh peguam bela berhubung dakwaan konflik kepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali didapati tiada merit. Ini berikutan  kegagalan menyatakan secara jelas apa yang boleh dibuktikan berhubung pertuduhan ke atas Najib.
Tengku Maimum berkata dalam keputusan sebulat suara itu tiada berlaku ketidakadilan.
Hakim lain, termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Menurut Tengku Maimun, walaupun tanpa bukti tambahan, pihak pembelaan masih mampu membangkitkan aspek undang-undang dalam rayuan utama.
Apabila Ketua Hakim berkata akan meneruskan tentang rayuan utama, peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik bangun lalu meminta supaya ditangguhkan rayuan dalam tiga atau empat bulan. Alasan yang diberikan ialah memandangkan Najib baharu sahaja menukar firma guaman untuk mewakili beliau.
Bagaimana pun, ketua pendakwa raya Datuk V. Sithambaram berkata semua fakta kes tersedia di hadapan mahkamah dan oleh itu menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan penangguhan.
Mahkamah berhenti untuk berbincang.
-BTS Media