BTS Media

Kes SRC International: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh perbicaraan

 

Oleh Fetty Rara

MAHKAMAH Persekutuan telah menolak permohonan Najib Razak untuk menangguhkan tarikh pendengaran rayuan terakhirnya dalam kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan bulan depan.

Ahli Parlimen Pekan itu cuba menolak tarikh perbicaraan berikutan pertukaran barisan peguam pembelanya.

Dalam surat yang ditandatangani oleh timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof, mahkamah berkata pihak-pihak berkenaan perlu mengambil tindakan yang perlu dan bersedia untuk pendengaran rayuan, yang akan didengar selama 10 hari dari 15-19 Ogos dan 22-26 Ogos.

“Mahkamah ingin menegaskan bahawa tiada penangguhan akan dibenarkan,” kata Wan Fatimah.

Najib, pada 25 Julai telah menyingkir Tetuan Shafee & Co dan mengambil Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir di mahkamah tertinggi.

Pada 26 Julai, ZIST menulis surat rasmi meminta penangguhan usul untuk mengemukakan bukti baharu berhubung Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan), yang mengetuai kes SRC International di Mahkamah Tinggi serta kes rayuan utama.

Menurut Timbalan Pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ZIST juga akan membuat permohonan yang sama untuk menangguhkan kedua-dua perkara di mahkamah terbuka di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos.

Pada Jumaat (29 Julai), pengurusan kes dijalankan secara dalam talian dihadiri oleh Mohd Ashrof dan ketua pendakwa raya V. Sithambaram untuk pihak pendakwaan.

Turut dalam prosiding itu termasuk peguam baharu Najib, Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.

Peguam Najib sebelum ini, Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan turut hadir bagi urusan penyerahan dokumen daripada Shafee & Co kepada ZIST.

Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes terakhir secara dalam talian pada pukul 3.00 petang 8 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Najib atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna jawatan, melibatkan dana SRC, berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

-BTS Media

Leave a Comment