BTS Media

Mahkamah tolak permohonan QC untuk mewakili Najib bagi rayuan kes SRC

MAHKAMAH Tinggi pada Khamis (21 Julai) telah menolak permohonan peguam Queen’s Counsel (QC) British, Jonathan Laidlaw untuk diterima sebagai peguam bela dan peguam cara di Malaysia.

Dengan keputusan itu usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan QC mewakilinya dalam rayuan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan gagal.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid melalui prosiding dalam talian berkata tiada isu rumit dalam rayuan itu yang memerlukan penyertaan QC.

Beliau berkata oleh sebab peguam bela dan peguam cara di Malaysia berkemampuan untuk mengendalikan kes sedemikian, tiada justifikasi untuk membolehkan pemohon (Laidlaw) diterima secara ad hoc untuk rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Ahmad Kamal juga berkata pemohon tidak dapat membuktikan dirinya memiliki kelayakan istimewa, mahupun pengalaman yang tidak ada pada peguam tempatan.

Selain itu, beliau berkata tiada bukti menunjukkan bahawa pemohon mempunyai pengetahuan atau pengalaman berhubung undang-undang tempatan berbanding pengamal undang-undang di Malaysia.

Menurut beliau lagi, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Laidlaw memiliki rekod cemerlang (silk lawyer) dalam mengendalikan kes jenayah kewangan, namun itu sahaja tidak memadai untuk membuktikan dia mempunyai kemahiran, kelayakan dan pengetahuan tentang penggunaan undang-undang tempatan.

Oleh itu, beliau berpendirian bahawa pemohon gagal memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 18 (1) Akta Profesion Guaman (LPA) 1976.

-BTS Media

Leave a Comment