BTS Media

Rumah orang Islam di India dirobohkan sebagai hukuman – Amnesty International

Oleh Yusoff A. Shariff

BADAN hak asasi manusia Amnesty International mendapati sekurang-kurangnya 617 orang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian berikutan serangan bersasar di India ke atas rumah dan harta orang Islam.

Ini berlaku apabila pihak berkuasa India menyerang rumah, perniagaan, dan tempat ibadah orang Islam menggunakan jentolak.

India, yang merupakan negara majoriti Hindu kini sedang menyaksikan peningkatan diskriminasi dikenali sebagai “keadilan jentolak” yang bertujuan untuk menghukum aktivis daripada kumpulan minoriti, terutamanya orang Islam, kata Amnesty, sambil menyeru supaya dihentikan tindakan meluas dan “tidak sah” itu.

Ini berlaku pada masa di mana pentadbiran perdana menteri Narendra Modi secara ketara melanggar hak asasi manusia penduduk Islam minoriti dan menggunakan diskriminasi agama sebagai senjata.

Pihak berkuasa menghantar jentolak untuk merobohkan kediaman dan memusnahkan segala harta benda penduduk Islam di New Delhi dan wilayah Uttar Pradesh, lapor akhbar British The Independent.

Tujuan “keadilan jentolak” ini adalah untuk memusnahkan kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Islam, kata kumpulan hak asasi manusia antarabangsa setelah menyiasat 62 daripada jumlah 128 tindakan yang didokumentasikan di lima negeri India antara April dan Mei 2022.

Kerajaan tempatan Delhi dan Uttar Pradesh belum lagi memberi respons terhadap laporan Amnesty. The Independent telah mencuba menghubungi wakil-wakil dua kerajaan wilayah tersebut untuk mendapatkan komen.

Amnesty berkata hartanah Muslim dimusnahkan secara diskriminatif tanpa sebarang proses wajar. Ini telah membawa kepada pengusiran secara paksa kira-kira 600 orang Islam dari kediaman mereka, di tengah-tengah gelombang hukuman kolektif dan sewenang-wenangnya, kata laporan itu.

-BTS Media

Leave a Comment