Oleh Yusoff A. Shariff
JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi dua bulan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperbetulkan kelemahan membabitkan pembelian saham bernilai RM259.98 juta dalam tempoh 12 tahun tanpa kelulusan.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini adalah antara syor yang dibuat oleh jawatankuasa pengawasan parlimen dwipartisan berikutan siasatannya berhubung perkara itu.
Pembelian saham yang tidak diluluskan itu diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Disember, lapor The Star.
“PAC akan memanggil semula Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM dalam prosiding susulan dua bulan lagi untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai cadangan jawatankuasa itu,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Isnin (18 Mac).
Beliau berkata UiTM gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan di bawah Akta Universiti Teknologi Mara 1976 untuk mengambil alih UiTM Private Education Sdn Bhd (UPESB) dan UiTM Technoventure Sdn Bhd (UTVSB).
“Ini termasuk suntikan RM259.98 juta oleh UiTM antara 2007 dan 2018, tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan, bagi tujuan pemerolehan saham daripada UiTM Holdings yang tidak mengikut Akta,” katanya.
Beliau berkata PAC juga mendapati syarat pemindahan tanah untuk Solar Park I Gambang di Pahang masih belum dipenuhi walaupun projek UiTM Holdings akan memberi manfaat kepada operasi UiTM.
Tambahan pula, PAC berkata kegagalan untuk memeterai perjanjian sewa baharu telah menyebabkan Pusat Pakar UiTM tidak diselenggarakan dengan baik.
Mas Ermieyati berkata PAC juga menyatakan bahawa UiTM Holdings dan anak syarikatnya masih belum mencapai sasaran perniagaan strategik mereka.
Antara saranan PAC termasuk UiTM menambah baik penyeliaannya terhadap UiTM Holdings dan anak syarikatnya bagi memastikan keuntungan dan pematuhan mereka terhadap Akta tersebut.
“Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM mesti mengambil tindakan (membawa) suntikan RM259.98 juta selaras dengan Akta,” katanya.
Syor PAC itu susulan prosiding yang diadakan pada 6 Dis dengan laporan akhir disiapkan pada 27 Feb.
Antara yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Farisan Mokhtar.
-BTS Media