BTS Media

‘Jika tidak faham, tanya’, nasihat Ketua Hakim kepada yang kecam keputusan mahkamah

Oleh Fetty Rara

ADALAH tidak adil membuat kenyataan tentang penghakiman tanpa memahami sepenuhnya keputusan mahkamah, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata komen yang dibuat tanpa memahami penghakiman adalah sentimen semata-mata dan bukan berdasarkan pada pemahaman undang-undang.

Menurut beliau, adalah tidak adil membuat kenyataan mengenai perkara tidak difahami, yang boleh membawa kepada kekeliruan.

Tengku Maimun berkata, jika sesiapa tidak mempunyai pengetahuan asas, mereka tidak akan dapat memahami sepenuhnya, tapi masih membuat kenyataan tentang perkara tersebut.

“Itu tak betul,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan Ke-2 2022 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur pada Sabtu (10 Sept).

Beliau diminta mengulas beberapa kenyataan ahli politik yang menyerang badan kehakiman selepas panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, diketuainya pada 23 Ogos, mengekalkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri Najib Razak kerana didapati bersalah menyalahgunakan berjuta-juta ringgit daripada syarikat yang dikaitkan dengan dana negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tengku Maimun menasihati orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan tanpa terlebih dahulu memahami penghakiman atau berbincang dengan mereka yang lebih arif tentang pelaksanaan undang-undang.

“Pendapat peribadi saya ialah komen itu menunjukkan kekurangan pemahaman mereka kerana mereka tidak membaca penghakiman.

“Kalau tak baca, tak faham, kalau tak faham, mereka akan buat komen yang tidak sesuai dan tidak relevan dengan isu itu,” katanya.

Tengku Maimun juga berkata beliau menyambut baik sokongan daripada Majlis Peguam Malaysia, yang mengeluarkan kenyataan akhbar untuk membantah serangan oleh ahli politik.

“Saya berterima kasih kerana Majlis Peguam Malaysia kerana mengeluarkan kenyataan akhbar dan menjelaskan kedudukan sebenar kes diputuskan sedemikian dan juga mengapa ahli politik tidak perlu membuat kesimpulan atau membuat kenyataan.

-BTS Media

Leave a Comment