Oleh Fetty Rara
PELAJAR ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Julea Qiestyna Abu Zarhas membanggakan Malaysia apabila memperoleh markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transaction (FA1) sesi Mac 2023.
Dalam satu post di Facebook mengenai pencapaian pelajar tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak mengumumkan bahawa Julea Qiestyna berjaya memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia bagi peperiksaan FA1.
Menurut catatan Fakulti Perakaunan, UiTM cawangan Perak pada 20 April lalu, Julea Qiestyna menerima anugerah Pemenang Kertas FA1, daripada Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) beberapa minggu lalu.
Ucapan tahniah atas kejayaannya mencurah dimuat naik di media sosial.
Fakulti juga mengucapkan tahniah kepada Julea Qiestyna di Facebook atas kejayaan yang diperoleh dalam peperiksaannya.
“Seluruh fakulti berbangga dengan pencapaian ini dan berharap lebih ramai pelajar Pemenang Hadiah dilahirkan pada masa hadapan,” katanya.
UiTM cawangan Perak turut berkongsi pencapaian Julea Qiestyna di laman Facebook.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah juga memuat naik catatan yang menyanjung tinggi pencapaian Julea Qiestyna di Facebook.
“Tahniah kepada Julea dan seluruh UiTM cawangan Perak. Besar harapan saya apabila melihat graduan, khususnya graduan kelahiran Perak berjaya mengharumkan nama mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Turut memuji prestasi Julea Qiestina, pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Perak, Farah Fatzel.
“Alhamdulillah, dengan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi, tahniah kepada pelajar saya Julea Qiestyna di atas pencapaian yang membanggakan. Semoga dia terus cemerlang dalam perjalanannya ke arah ACCA, saya tahu dia boleh melakukannya,” kata pensyarah itu.
-BTS Media